Sunday, April 20, 2008

Lipodistrofi


Anda telah memulakan rawatan and harapan untuk hidup lebih lama kian meningkat, namun seperti orang HIV positif yang lain, mungkin terdapat masalah kesihatan yang masih perlu dihadapi. Pertama sekali terdapat kemungkinan berlaku kesan sampingan jangka-pendek dan jangka-panjang. Kedua, walaupun kurang orang HIV positif yang menerima rawatan yang canggih didiagnos dengan penyakit oportunistik, mereka masih dipaksa menghadapi masalah kesihatan lain yang bukan berkait dengan AIDS, seperti isu yang berkait dengan ketuaan. Sebenarnya orang HIV positif lebih berisiko mengalami masalah kesihatan kerana medikasi yang diambil. Sementara kesan sampingan jangka-pendek HIV dan medikasi yang digunakan untuk merawatnya telah banyak diketahui, namun kesan sampingan jangka-panjang jangkitan dan terapi antiretrovirus masih dikaji. Kita sedang mempelajari cara-cara untuk mengurangkan risiko dan cara mengurus komplikasi dan kesan samping jangka-panjang sekiranya berlaku.

Sejak AIDS pertama kali didokumentasikan pada awal 1980an, salah satu pengalaman yang menakutkan dan mengecewakan bagi orang HIV positif adalah perubahan dalam berat, saiz dan bentuk badan mereka. Bagi 15 tahun pertama epidemik AIDS kesusutan berat badan dan sindrom kehilangan lemak adalah salah satu simtom yang paling biasa dalam jangkitan HIV khususnya bagi mereka yang mempunyai jangkitan oportunistik (OIs). Dan walaupun terapi anti-HIV tiga ubat telah banyak membantu dalam mengurangkan risiko kesusutan badan dan sindrom kehilangan lemak, kedua-duanya masih berlaku.

Malangnya, perubahan saiz dan bentuk badan orang HIV tidak berhenti dengan kekurangan kes kesusutan badan dan sindrom kehilangan lemak. Satu komplikasi HIV- dipercayai kesan sampingan terapi ubat anti-HIV telah menjadi isu penting bagi orang yang hidup dengan HIV: lipodistrofi. Perubahan bentuk badan yang dikaitkan dengan lipodistrofi termasuk penambahan lemak (lipohipertrofi) di setengah bahagian badan dan kehilangan lemak (lipoatrofi) di bahagian lain, bersama dengan masalah lemak dan gula dalam darah, banyak kelihatan di kalangan orang HIV positif yang sedang mengambil terapi ubat anti-HIV. Sementara, para pakar saintis masih mengenalpasti sebab berlakunya lipodistrofi, maklumat baru mengenai masalah ini dan apa yang boleh dilakukan tetap timbul.
Apakah lipodistrofi?

Lebih dari satu perkataan yang membelit lidah, perkataan "lipodistrofi" boleh dipecahkan kepada dua perkataan yang bermakna "Lipo" merujuk kepada lemak dan "distrofi" yang merujuk kepada perubahan atau ketumbuhan abnormal. Bila dua perkataan ini disambungkan, ia memberi makna kepada orang yang hidup dengan HIV dan perubahan lemak abnormal yang dialami. Buku perubatan merujuk kepada lipodistrofi sebagai " sindrom pengagihan lemak". Di sini adalah ulasan perubahan lemak yang dilihat dalam orang HIV positif:

Penambahan Lemak: Sesetengah orang menampakkan lemak di kawasan perut meningkat dengan banyak. Perkataan perubatan bagi keadaan ini ialah lipohipertrofi (penumbuhan lemak berlebihan). Penambahan lemak di bahagian belakang leher dan bahu (kadangkala dipanggil "bonggol kerbau") juga telah dinampak. Begitu juga dengan penambahan tisu lemak di dada. Setengah orang juga melaporkan lemak yang boleh bergerak di bawah kulit (lipoma).

Kehilangan Lemak: Sesetengah orang melihat lemak di kaki, tangan, punggung dan muka berkurang. Ini boleh mengakibatkan urat darah menonjol dan pipi muka cengkung. Perkataan perubatan bagi keadaan ini adalah lipatrofi.

Ramai orang HIV positif yang mengambil ubat anti-HIV juga mengalami masalah berikut:-

Kadar lemak yang tinggi dalam darah: Sesetengah orang akan mengalami kenaikan lemak atau lipid dalam darah mereka. Dua jenis lipid dalam darah ialah triglycerides dan kolestrol. Kenaikan tahap kolestrol boleh meningkatkan risiko sakit jantung. Kenaikan triglycerides boleh meningkatkan risiko kerosakan kepada pankreas (pankreatitis).

Kadar gula yang tinggi dalam darah: Sesetengah orang akan lihat kadar gula atau glukos dalam darah meningkat. Mungkinkah ini dikaitkan dengan peningkatan insulin? sejenis hormon yang dikeluarkan oleh pankreas untuk mengawal kadar glukos dalam darah. Ini boleh menyebabkan diabetes (penyakit kencing manis) satu masalah kesihatan yang memerlukan perhatian perubatan.
Gambar di atas menunjukkan penambahan lemak di kawasan abdomen dan kehilangan lemak di bahagian lengan.
Kesan lipodistrofi terhadap wanita dan lelaki.

Beberapa kajian menunjukkan bahawa kesan lipodistrofi terhadap lelaki dan wanita berlainan. Menurut satu kajian besar, peninjauan yang di isi oleh pesakit dan doktor mereka, wanita nampaknya menunjukkan penambahan lemak di bahagian atas badan sementara lelaki lebih menampakkan kekurangan lemak di lengan, kaki, punggung dan muka. Ramai lelaki dan wanita bagaimanapun mengalami kedua-dua simtom. Tidaklah jelas mengapa terdapat perbezaan mengikut gender. Ia mungkin kerana orang lelaki HIV positif membakar lemak lebih cepat dari wanita HIV positif atau perbezaan dalam kesan hormon.

Setengah pakar percaya bahawa ia mungkin menunjukkan dua sindrom - satu mengakibatkan kehilangan lemak dan yang satu lagi dengan peningkatan lemak. Lebih banyak kajian diperlukan utuk menentukan samada benar terdapat perbezaan di antara lelaki dan wanita berhubung dengan lipodistrofi. Sekiranya ada perbezaan, maka lebih penting lagi ialah mengapa dan bagaimana mengelak dari berlaku.
Sebab berlaku lipodistrofi.

Kita tidak tahu apakah yang menyebabkan lipodistrofi. Apa yang kita tahu ialah sejumlah besar orang HIV positif mengalami satu atau lebih simtom yang dibincangkan di atas. Kita juga tahu pesakit yang mengalami lipodistrofi mula menampakkan simtom semasa mengambil terapi ubat anti-HIV. Lipodistrofi pertama kali dilaporkan di kalangan pesakit yang menggunakan kombinasi ubat termasuk protease inhibitor (PI).

Sejak 1996, apabila lipodistrofi baru dilaporkan oleh pengkaji dan doktor-doktor, beberapa pesakit yang tidak pernah menggunakan PI tetapi telah menggunakan non-nucleoside reverse transcriptase inhibitors (NNRTI) dan/atau nucleoside reverse transcriptase inhibitors (NRTI) dalam kombinasi bersama - telah didiagnos dengan lipodistrofi. Terdapat juga pesakit yang mengalami satu atau lebih simtom lipodistrofi tanpa menggunakan ubat anti-HIV. Tidak jelas peranan ubat anti-HIV terhadap pembentukan lipodistrofi. Juga pada masa yang sama, tidak diketahui ubat yang mana lebih menyebabkan masalah ini.

Berikut adalah ulasan apa yang diketahui tentang sebab lipodistrofi:

Protease Inhibitor (PIs): Setengah pakar percaya bahawa PI boleh merosakkan kebolehan enzim yang bertanggungjawab menyerap lemak berlebihan dan membolehkan fungsi sel lemak. Ini akan menjelaskan mengapa setengah orang HIV positif mempunyai lipid yang tinggi. Ini juga dapat menjelaskan mengapa lemak berkumpul di kawasan perut, dada dan leher. Namun tidak jelas PI yang mana menyebabkan lipodistrofi. Satu PI ataznavir dipercayai tidak meningkat kadar lipid dalam darah (tetapi risiko ini meningkat apabila dicampur dengan dos-kecil Ritonavir). Juga tidak jelas samada atazanavir berkait dengan penambahan lemak, walaupun setengah kajian menunjukkan ia tidak.

Nucleoside reverse transcriptase inhibitors (NRTIs): Setengah NRTIs boleh merosakkan mitokondria. Pakar berpendapat ini mungkin menjelaskan mengapa ramai mengalami kesan sampingan dari mengambil NRTI, termasuk periferal neuropati, pankreastitis, kekurangan darah putih (leukopenia) dan juga lipodistrofi (khususnya lipoatrofi).

Adalah di percayai banyak "d" NRTIs -d4T (Zerit), ddI (Videx), dan ddC (Hivid) - besar kemungkinan menyebabkan kerosakan mitokondria, khusunya sekiranya ia digunakan untuk jangkawaktu yang panjang. Juga terdapat kajian yang menhubungkah Zerit kepada kehilangan lemak di muka, lengan dan kaki (lipoatrofi). Setengah NRTIs (termasuk AZT (Retrovir) juga telah dikaitkan dengan lipoatrofi, risiko adalah lebih tinggi untuk orang yang mengambil Zerit. Zerit kini bukan pilihan pertama dalam rawatan anti-HIV.

Faktor lain: Bukan semua orang yang mengambil PI atau NRTI akan mengalami lipodistrofi atau masalah peningkatan lipid atau kadar gula dalam darah. Pakar saintis sedang mencari faktor-faktor yang mungkin meningkatkan risiko kesan sampingan semasa mengambil ubat anti-HIV. Misalnya, orang yang memulakan rawatan dengan kiraan sel CD4 yang rendah mungkin lebih berisiko mengalami lipodistrofi dari mereka yang memulakan rawatan dengan CD4 yang tinggi. Umur juga memainkan peranan yang penting dalam risiko ini. Orang tua mungkin mengalami lipodistrofi berbanding orang muda. Juga jangkamasa rawatan mungkin satu faktor. Lebih lama seseorang berada dalam rawatan, maka risiko lipodistrofi lebih tinggi.

HIV mungkin juga satu faktor. Sebelum penggunaan ubat anti-HIV, orang HIV positif telah diketahui mempunyai kadar triglycerides yang tinggi dalam darah mereka dan juga mengalami perubahan bentuk badan berbanding dengan orang HIV negatif. Dan oleh kerana orang HIV positif kini hidup lebih lama dengan kombinasi ubat anti-HIV, masalah lemak berkait HIV menjadi lebih ketara.

Adakah lipodistrofi merbahaya?

Setengah simtom lipodistrofi sekiranya dibiarkan boleh mengancam nyawa. Simtom lain yang kurang merbahaya, mungkin sukar ditangani secara fizikal dan mental.

Perubahan bentuk - khusunya penambahan lemak di bahagian dada dan leher - tidak mengancam nyawa. Bagaimanapun, mereka boleh menganggu kerana penambahan lemak di leher boleh menyebabkan sakit kepala dan masalah bernafas dan tidur. Dada yang membesar boleh menyebabkan sakit belakang.
Penambahan lemak yang mendalam seperti di kawasan perut boleh menyelaputi organ penting seperti hati dan jantung dan boleh menganggu fungsi organ-organ ini. Walaupun ramai orang HIV positif mengalami jenis penambahan lemak ini, namun, tidak banyak laporan ia mengancam nyawa.

Kehilangan lemak di bahagian kaki, lengan , punggung dan muka dan penambahan lemak di bahagian atas badan boeh mempunyai kesan yang serius tentang bagaimana mereka melihat diri mereka. Ini adalah satu masalah mental berbanding masalah mengancam nyawa. Ia boleh mengakibatkan tekanan mental, kesedihan, penarikan sosial dan masalah mental ini lebih susah ditangani.

Penambahan lipid dan glukos dalam darah seperti triglycerides dan kolestrol boleh menyebabkan orang HIV berisiko tinggi untuk mendapat penyakit jantung serta serangan sakit jantung. Kenaikan kadar glukos dan insulin boleh meningkatkan risiko diabetes, satu penyakit yang boleh mengakibatkan masalah penglihatan dan buah pinggang dan boleh mengancam nyawa.

No comments: