Wednesday, April 30, 2008

Hepatoksisiti - Kerosakan Organ Hati

Hati adalah organ yang terbesar dalam badan manusia. Ia terletak di bahagian kanan belakang tulang rusuk dan menjalankan beberapa fungsi yang diperlukan oleh badan kita untuk sentiasa sihat. Ini adalah beberapa fungsi utama hati:
* Menyimpan nutrien penting dari makanan yang kita makan
* Membina bahan kimia yang diperlukan badan untuk sentiasa sihat
* Memecahbelahkan bahan yang merosakkan, seperti alkohol dan bahan kimia toksik yang lain.
* Mengeluarkan bahan buangan dari darah.

Bagi orang HIV positif, hati memainkan peranan penting kerana ia bertanggungjawab membuat protein baru yang diperlukan oleh sistem imun, membantu badan melawan jangkitan, dan memecahbelahkan ubat-ubat HIV/AIDS. Malangnya ubat-ubat ini juga boleh menyebabkan kerosakan kepada hati dan menghalang hati dari melaksanakan fungsinya.

"Hepatoksisiti" adalah perkataan rasmi yang diberi kepada kerosakan hati yang disebabkan oleh ubat-ubatan dan bahan kimia lain. Sekiranya anda ada soalan atau bimbang tentang hepatoksisiti, khususnya tentang ubat HIV yang diambil, berbincanglah dengan doktor anda.

Bagaimanakan ubat HIV menyebabkannya?

Walaupun ubat anti HIV bertujuan memulihkan kesihatan kita, hati mengenali ubat-ubat ini sebagai bahan toksik. Lagipun, ia bukan dihasilkan secara semulajadi oleh badan dan mengandungi bahan kimia yang berpotensi mengakibatkan kerosakan kepada badan. Bersama dengan buah pinggang dan organ lain, hati memproses dan memecahbelahkan ubat HIV dan membuat ia selamat. Dalam proses ini, hati boleh menjadi "letih" dan ini boleh menyebabkan kerosakan hati.

Terdapat dua cara bagaimana ubat HIV boleh menyebabkan kerosakan hati:

Kerosakan kepada sel hati:
Sel hati, yang dipanggil hepatosit, memainkan peranan penting dalam fungsi hati. Sekiranya sel ini berkerja terlalu kuat dalam menghapuskan bahan kimia dari darah, atau sekiranya ia dirosakan oleh jangkitan (misalnya hepatitis C), tindakbalas kimia abnormal boleh merosakkan sel-sel ini. Terdapat tiga cara ini boleh berlaku:

Dos ubat yang tinggi. Sekiranya anda tertelan dos yang tinggi ubat anti-HIV atau ubat-ubat lain (lebih dari yang disyorkan) ini boleh mengakibatkan kerosakan yang mendadak dan teruk kepada sel hati. Hampir semua ubat sekiranya terlebih dos boleh menyebabkan kerosakan ini.
Memakan ubat untuk jangkamasa yang panjang. Sekiranya anda mengambil ubat-ubat untuk jangkamasa yang panjang, terdapat risiko kerosakan kepada sel hati akan berlaku. Ini biasanya berlaku selepas beberapa bulan atau tahun anda memakan ubat-ubat ini. Protease inhibitors diketahui berkemampuan mengakibatkan kerosakan kepada sel hati sekiranya ia digunakan untuk jangkamasa panjang.

Reaksi allergi. Apabila kita mendengar terma "reaski allergi" kita biasanya mengaitkannya dengan gatal-gatal dan mata berair. Bagaimanapun, reaksi allergi juga boleh berlaku dalam hati. Sekiranya allergi terhadap sesuatu ubat, sistem imun boleh mengakibatkan hati menjadi radang sebagai akibat interaksi antara protein hati utama dan ubat. Sekiranya ubat itu tidak dihentikan, keradangan hati akan menjadi teruk dan menyebabkan kerosakan hati yang serius. Dua ubat anti HIV yang diketahui mengakibatkan reaksi allergi ini (juga dikenali hipersensitiviti) dalam orang HIV positif ialah Ziagen® (abacavir) dan Viramune® (nevirapine). Reaksi allergi seperti ini biasanya berlaku beberapa minggu atau bulan selepas ubat ini dimulakan dan samada diikuti oleh simtom allergi yang lain (seperti deman dan ruam-ruam).

Laktik Asidosis
NRTIs tidak diproses oleh hati; mereka dikeluarkan dari saluran darah dan badan melalui buah pinggang. Oleh itu ramai pakar pada satu masa dahulu mengagak bahawa ubat-ubat ini tidak akan merosakkan hati. Tetapi, kini kita tahu bahawa ubat-ubat ini merosakkan "mitokondria selular" , "rumah kuat" dalam sel yang menukarkan nutrien kepada tenaga. Ini boleh menyebabkan kadar laktik, satu bahan buangan selular meningkat. Sekiranya kadar ini terlalu tinggi, satu keadaan laktik asidosis berlaku. Ini boleh menyebabkan masalah hati termasuk bertambahnya lemak dalam hati dan keradangan hati.

Bagaimanakah dapat saya mendapat tahu ubat HIV saya merosakkan hati?

Petunjuk terbaik hepatoksisiti adalah peningkatan sesuatu enzim hati yang mengalir dalam saluran darah. Enzim terpenting ialah AST (aspartate aminotransferase), ALT (alanine amintransferase), alkaline phosphostase, dan bilirubin. Keempat-empat enzim biasanya diuji sebagai sebahagian ujian darah yang diminta oleh doktor anda bersama CD4/CD8 dan "viral load" (bebanan virus) selang beberapa bulan.

Sekiranya anda atau doktor anda mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa satu ubat yang diambil sedang merosakkan hati, satu ujian darah harus dilakukan. Adalah lebih baik untuk mengesan hepatoksisiti pada peringkat awal agar langkah-langkah untuk menghalang ia dari menjadi teruk dan membolehkan hati menyembuh.

Biasanya, hepatoksisiti mengambil beberapa bulan atau tahun untuk membentuk dan bermula dengan kenaikan perlahan dalam AST atau ALT dan bertukar kepada kenaikan yang serius. Umumnya, sekiranya kadar AST atau ALT anda meningkat tetapi kurang dari lima kali kadar normal (misalnya AST lebih dari 43 IU/L tetapi kurang dari 215 IU/L atau ALT lebih dari 60 IU/L tetapi kurang dari 300 IU/L) anda mengalami hepatoksisiti yang tidak serius. Sekiranya AST anda lebih dari 215 IU/L atau ALT anda lebih dari 300 IU/L. anda mengalami hepatoksisiti yang teruk dan ini boleh menyebabkan kerosakan hati kekal sekiranya sebab kenaikan kadar AST dan ALT tidak ditangani. Oleh sebab itu, doktor akan sering meminta ujian darah ini selang beberapa bulan untuk memastikan anda tidak mengalami hepatoksisiti (keadaan awal boleh diterbalikkan).

Bagaimanapun setengah ubat seperti abacavir dan nevirapine boleh menyebabkan kadar enzim hati meningkat dengan cepat sebaik sahaja ubat ini dimulakan akibat reaksi allergi. Oleh itu, pada permulaan pengambilan ubat-ubat ini, ujian darah enzim dilakukan lebih kerap, selang beberapa minggu. Dan sekiranya kadar enzim terlalu tinggi, doktor mungkin akan menghentikan kegunaan ubat atau menukar dos.

Kenaikan kadar enzim jarang dirasai. Ini bermakna, anda mungkin tidak akan menunjukkan simtom fizikal walaupun enzim hati meningkat. Oleh itu, adalah penting anda mengikut arahan doktor dan mengendalikan ujian darah yang diarah oleh doktor anda. Dalam hepatoksisiti yang teruk, simtom mungkin wujud dan lebih kurang sama dengan hepatitis. Simtom hepatitis termasuk:
* anoreksia (hilang selera makan)
* malais (rasa kurang sihat)
* muntah
* loya
* najis tidak berwarna
* rasa letih/tidak bermaya
* rasa sakit di bahagian abdomen
* jaundis (kekuningan kulit dan putih mata)
* hilang rasa rokok
* kencing yang gelap (warna oren)

Sekiranya anda mengalami salah satu simtom di atas selepas memulakan rawatan anti-HIV, berbincanglah dengan doktor anda agar langkah yang wajar boleh diambil.

Adakah hepatoksisiti akan berlaku kepada setiap orang yang mengambil ubat anti HIV?

Tidak. Bukan semua orang yang mengambil ubat anti HIV (termasuk abacavir dan nevirapine ) akan mengalami hepatoksisiti.

Saya mengidap HIV dan hep. C. Bolehkan saya mengambil ubat anti-HIV?

Ya. Walaupun anda mengidap hepatitis C atau hepatitis B kronik - dua jenis infeksi virus yang boleh menyebabkan kerosakan dan keradangan hati - ini tidak bermakna anda tidak boleh mengambil ubat anti HIV. Bagaimanapun, perlu difahami bahawa risiko mengalami kerosakan hati lebih tinggi.

Satu perkara yang jelas ialah orang yang dijangkit HIV dan hep C atau hep B harus bekerjasama dengan doktor mereka agar rawatan yang selamat dan efektif dapat dilakukan. Misalnya, pakar percaya bahawa sekiranya anda mengidap HIV dan hep C, anda harus mulakan rawatan hep C semasa sel-T anda masih tinggi sebelum memulakan rawatan HIV. Kejayaan rawatan hep C mungkin cara terbaik untuk mengurangkan risiko hepatoksisiti sebaik sahaja rawatan HIV dimulakan.

Adalah penting untuk mengawasi hati anda semasa mengambil ubat anti HIV. Anda dan doktor anda harus mengambil perhatian kepada kadar enzim hati setiap masa berbanding dengan orang yang hanya menjalani rawatan HIV.

Adakah cara untuk mencegah hepatoksisiti atau diterbalikkan?

Sekiranya anda diberitahu bahawa ubat anti-HIV anda sedang mengakibatkan toksisiti hati, doktor anda akan memastikan ubat mana menyebabkan keadaan ini. Doktor anda akan menentukan samada ubat itu harus dihentikan dan ditukar atau menggurangkan dos. Bagaimanapun, jangan hentikan rawatan dengan sendiri tanpa berbincang dengan doktor anda dulu.

Mujurlah jagaan hati tidak terhad kepada mengelak atau menukar ubat anti HIV. Terdapat cara lain untuk menjaga hati anda semasa mengambil ubat anti HIV.

Bagaimana dengan alkohol?

Tidak kurang maklumat berkenaan penggunaan alkohol yang banyak - biasanya dikira sebagai lebih dari 5 minuman (botol/gelas) sehari - boleh menyebabkan kerosakan hati. Juga diketahui bahawa penggunaan alkohol yang banyak juga boleh memburukkan penyakit hati seperti hep C dan B. Walaupun tidak diketahui samada penggunaan ringan alkohol (satu atau dua minuman sehari) boleh memudaratkan hati, khususnya kepada orang yang mengambil ubat setiap hari, sekiranya anda minum alkohol, adalah penting untuk membincangkannya dengan doktor anda. Kebanyakan pakar menasihatkan supaya anda menjauhkan diri dari alkohol sekiranya anda mengidap hepatitis atau mengambil ubat anti HIV.

Bagaimana dengan diet?

Ya, sudah tentu. Hati bukan sahaja bertanggungjawab memproses ubat-ubatan - ia juga mesti memproses dan menyahtoksik minuman dan makanan yang kita makan dan minum setiap hari. Antara 85% hingga 90% darah yang meninggalkan perut dan usus mengandungi nutrien dari minuman dan makanan yang kita makan untuk diproses oleh hati. Oleh itu satu diet yang seimbang adalah cara terbaik untuk membantu mengurangkan tekanan dan membantu hati sentiasa sihat. Berikut adalah beberapa nasihat yang harus dipertimbangkan:

* Makan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak, khusus sayuran hijau dan buah-buahan berwarna oren dan merah.

* Kurangkan lemak kerana ia boleh memberi tekanan kepada hati seperti barangan tenusu, minyak sayuran yang diproses, makanan yang digoreng, makanan yang tidak segar, daging yang diawet dan daging yang banyak lemak.

* Makan "lemak baik" yang mengandungi "fatty acid". Ini boleh didapati dalam minyak bijian, avocado, ikan, kekacang dan legum. Bukan sahaja lemak baik dipercayai senang diproses oleh hati, mereka juga membantu membentuk sel sihat di sekeliling sel hati.

* Jauhi dari bahan kimia dan toksin khususnya racun perosak, pemanis tidak semulajadi (aspartame) dan bahan pengawet.

* Makan makanan berprotein seperti telur, makanan laut, ayam kampung dan daging merah tanpa lemak. Sekiranya anda seorang yang hanya makan sayur-sayuran, makanan tambahan seperti vitamin B12, taurine dan carnitine harus dipertimbangkan untuk mengelak dari metabolisma yang lemah dan kelesuan.

* Minuman yang banyak khususnya air. Lapan gelas air sehari adalah mesti sekiranya anda mengambil ubat anti-HIV.

* Jauhi dari makanan mentah seperti sushi dan udang. Sushi mungkin mengandungi bakteria sementara udang pula mungkin mengandung virus hepatitis A.

* Juga berwaspada tentang makanan yang mengandungi zat besi seperti daging dan bijirin sarapan. Zat besi yang tinggi amat toksik kepada hati bagi orang yang mengalami hepatoksisiti atau hepatitis.

No comments: